Friday, December 30, 2016

Cuti di kampung yang indah - 4

Menguji sejauh mana anak-anak tahu tentang pokok.


Sewaktu membersihkan kawasan belakang rumah di kampung bersama-sama semua anak aku bertanya kepada adik pokok di atas itu. Mudah betul adik berkata "Kari! gemuk betul pokok kari Cik No kan mama". Aku ketawa lalu Kak Meen dan Kak Reen ikut ketawa sama. Mahu menguji si kakak pula aku bertanya kepadanya. "Pokok pucuk manis." Kata Kak Reen. Tambahlah buat mama ini ketawa besar. Tanya pula pada Kak Meen "Itu macam pokok yang sebelah bilik sana." Bila mama kata pokok belimbing semua gelak. Pokok belum besar itu alasan yang diberikan.

Walaupun selalu balik kampung dan memetik buahnya, tapi bila buah belum ada mereka tidak tahu lagi. Jelas anak-anak ku tidak seperti aku dulu yang lebih alert berkaitan tumbuh-tumbuhan yang ditanam oleh almarhum bapak atau almarhumah mak.

~~ "Rugi kalau ilmu yang sudah di depan mata pun masih tidak mahu ambil tahu." Itu kataku kepada anak-anak.~~

Cuti di kampung yang indah - 3

Bukan saja buah yang belum masak dirosakkan olehnya. Pokok durian belanda / sour-sop yang baru mengeluarkan bunga pun menjadi mangsa monyet-monyet yang berkeliaran. Buah yang masih muda digugurkan begitu saja. Bunganya pula di petik. Mahu bersanggul dengan bunga durian belanda agaknya si monyet betina ituπŸ˜€.


Bunga - Biarpun bunga berwarna kuning tetapi buahnya berwarna hijau.

Kering - Mana yang dirosakkan pasti tidak menjadi buah. Biasanya kelopak bunga akan gugur dan bahagian tengah itu yang akhirnya akan menjadi buah. Sayangnya aku cuba membelek tidak ada satu pun yang boleh dipotretkan untuk dipaparkan di blog ini.
Muda - Lihatlah masih muda sangat dipetik dan dibaling ke bawah sebab masih belum cukup matang untuk dimakan. Kalau besar sedikit pun walau belum matang sekurang-kurangnya boleh juga digoreng macam buah sukun. Tetapi ini masih terlalu muda. 
Ada juga kami bercadang mahu melaporkan kepada pihak perhilitan tetapi rasanya jika mahu ditangkap semua monyet yang berkeliaran di kampung kami, dua bas pun tidak muat agaknya. Selagi kami masih boleh bersabar dan boleh berkongsi kami biarkan dulu. Kasihan juga sebab habitat mereka sudah diganggu-gugat dek pembangunan di hujung kampung.

~~ Monyet sudah tentu tidak ada akal, tetapi bagaimana pula dengan manusia yang berakal adakah mereka tidak takut dosa? ~~


Thursday, December 29, 2016

Cuti di kampung yang indah - 2

Sebut saja kampung terbayang di ruang mata kita suasana yang banyak pokok-pokok. Udara yang nyaman. Hijau di sana-sini. Tidak termasuk ternakan yang dibela. Begitulah juga kampung papa kepada anak-anak ku. Banyak pokok buah-buahan bermusim dan tidak bermusim ada ditanam. Tetapi memandangkan mak/abah sudah tiada lagi bila siang hari tiada siapa yang menjaga. Pokok berbuah dengan sendiri tanpa dibaja. Ada juga yang belum sempat di petik sudah hilang dari pokok. 

Bergayutan - Pokok nangka ini sudah banyak memberikan hasilnya kepada keluarga kami.
Kongsi - Tetapi belum pun masak sudah ada yang cuba menikmatinya. 
Togel - Lebih sadis semua sarung pun dia pandai koyak dan tanggalkan.
Monyet-monyet semua sebenarnya tidak boleh disalahkan sebab habitat dia sudah banyak yang musnah dek pembangunan di kawasan berhampiran pantai hujung kampung ini. Akibatnya banyak yang berlegar-legar mencari makanan di kampung berdekatan. Bukan saja rumah kami yang menjadi mangsa tetapi rata-rata jiran-jiran kami semua mengalami masalah yang sama. Sebab itu walaupun ayam kampung terpaksa di kurung bila tuannya pergi bekerja. Telur ayam tidak boleh leka pasti habis diratah mereka anak-beranak.

~~ Allah berikan rezeki untuk dikongsi tetapi ada kalanya buat kita hampa bila apa yang kita nantikan berakhir dengan kosong.~~

Wednesday, December 28, 2016

Cuti di kampung yang indah - 1

Keluar rumah tanpa bersarapan. Oleh itu sekeluargalah kami singgah bersarapan di tempat biasa. Selesai semua masuk ke perut kereta terus membayangkan suasana kampung yang sudah dirindui. Tetapi sebaik saja masuk ke lebuhraya nasib kurang baik kereta tidak bergerak. Sesak yang melekat tidak boleh dielak. Mahu berundur masuk jalan persekutuan sudah tidak boleh sebab beberapa kereta juga sudah terjebak sama. Jenuhlah menanti giliran. Melihat mereka yang melalui lorong kecemasan mahu saja papa mengikut sama tetapi si isteri dan anak-anak mengingatkan kalaupun di dunia lepas tapi akhirat kita tidak tahu. Orang yang bersusun menanti giliran pasti tidak senang melihat bila berpusu kereta melalui lorong kecemasan. Biarlah akan tiba masa mereka pun akan sedar. Atau mungkin benar mereka ada kecemasan. Lihatlah saja.

Marak - Lebih kurang jam 10:00 pagi kereta kami masuk ke lebuhraya hampir jam 3:00 petang baru tiba di rumah sedangkan biasanya belum tengahari kami boleh tiba. Buka kunci sebab tidak ada siapa di rumah, masing-masing terus menuju ke bilik air. Selesai solat apa lagi sementara parut pun masih kenyang mama tidak perlu masak. Kami terus ke belakang rumah. Membakar apa yang patut.
Basah - Ada juga yang tidak mempan dengan api dek kerana masih lembab. Di Batu Pahat pun hujan turun selalu sama seperti di JB juga. Berkali-kali cuba juga untuk dibakar tapi sebahagian saja yang terbakar.

Bukan selalu kami mendapat peluang bermain dengan api begini. Apa lagi melihat longgokan daun-daun kering yang sudah dilonggokkan oleh abahDol aka bapa saudara anak-anak ku. Seronok apabila melihat api membakar habis setiap yang kami bakar. Anak-anak tidak kurang menjelajah kawasan belakang rumah peninggalah almarhum mak/abah mertua aku. Aroma kampung yang banyak pokok lain nikmatnya. Bermandi peluh kami anak-beranak tetapi sesekali ditiup angin terasa sangat nyaman.

Peninggalan - Masing-masing gelak besar apabila papa mengatakan ini dulu adalah jamban sewaktu papa masih bersekolah rendah lagi. Tempatnya adalah dalam 500 meter jarak daripada rumah. Itu yang membuat anak-anak ketawa sebab mereka membayangkan kalau mahu membuang waktu malam dan kalau sakit perut tidak tahan alangkah jauhnya mahu ke sini.
~~ Duduk di rumah sendiri teringat kampung, balik kampung pula rindu kepada mak-abah yang sudah pergi buat selama-lamanya. ~~


Tuesday, December 27, 2016

Gagah pun akan disembelih jua

Bila banyak yang jantan masing-masing tunjuk gagah. 
Asyik bergaduh berebut betina tidak sudah.






~~  Cara terbaik kurangkan kuantiti, jadikan gulai untuk hidangan famili.~~


Friday, December 23, 2016

Tempuh segala ujian dengan tabah

Empat tahun lepas tiga orang anak bersekolah. Semua pakaian sekolah aku jahit sendiri dengan tabah. Cuba bayangkan jika seorang anak tiga pasang baju, ada tiga anak mestilah kena sembilan pasang. Untuk sekolah agama juga tiga pasang bermakna tahun sebelum ini berbelas pasang baju sekolah aku kena jahit. Belum termasuk tudung yang selalunya setiap seorang juga tiga helai. Sekolah kebangsaan dan pagi pula tidak sama warna. Pengawas sekolah pagi warna biru muda tapi pengawas sekolah agama warna pink. Masuk tahun 2014 tinggal Kak Meen dan adik saja. Ada yang aku jahit dan ada yang aku beli siap. Malangnya baju beli siap biasanya jahitan tidak kukuh/mudah tetas.

Tetapi untuk tahun ini hanya adik seorang, aku sudah jadi malaslah pula. Kalau dulu tabah menjahit sebab mahu berjimat. Tapi bila tinggal adik seorang mulalah terdetik beli saja baju yang sudah siap lebih senang. Untuk tudung sajalah aku jahitπŸ˜ƒ. Dari dulu jika tudung anak-anak lebih suka mama jahit sendiri. Kenalah mama bertabah sebab tudung beli biasanya bahagian hujung depan akan terjongkit tidak sama jika jahit sendiri nampak terletak elok.

Ukur - Mudah saja jahit tudung. Selepas di segtigakan kain bertindan, gunting keliling dan pin paras mana untuk ruang muka. Macam kita buat telekung solat. Ini lagi mudah sebab kecil dan tidak perlu kekek di dagu dan pelapik atas kepala.

4 helai - Siap sudah bergunting dan berjahit untuk ruang muka tinggal jahit tepi keliling saja. Aku letih sebab baru balik dari menjenguk anak buah yang masih koma. Tetapi memandangkan sudah tidak ada masa aku gigih luangkan sejam juga buat ini. Hujung minggu ini kena balik Batu Pahat pula sebab ada kenduri aqiqah.
Mama Leha - Tabah dan cekal kakak aku seorang ini. Ujian terlalu besar buat orang yang baik sepertinya. Business Amway/shaklee/Avon/ serbanika/benih pokok bunga dan sayur semuanya terpaksa ditanggalkan untuk sementara. Mujur juga orang bawahannya cergas dan mampu menggalas. Duduk di hospital pun masih mendapat panggilan pelanggan yang mahukan produknya.  Untuk nursery pokok bunga pula jiran sebelah pun pandai tolong jual bila ada pelanggan datang. Abang ipar pula sentiasa ulang-alik ke HSI saban hari.
Sudah sebulan dan seminggu kini anak buah aku terlantar. Majlis pengantin anak buah pada minggu lepas Mama Leha sekeluarga saja yang tidak ada. Sewaktu di meja hidangan kami semua sama-sama teringat sehingga masing-masing mengalirkan airmata. Doa kami semua titipkan setiap waktu buat anakanda Muhamad Haikal ini. Anak yang baik, besar pula ujiannya. Walaupun Mama Leha punya kewangan yang kukuh tapi setiap bulan sebaik mendapat gaji tidak kurang RM700/- dia beri pada mamanya ini. Selepas solat maghrib setiap hari tidak lepas dengan Al-Quran, tetapi itulah apabila Allah mahu menguji siapa pun tidak mampu menepisnya. 

~~ Semoga keluarga kami mampu dan redha atas ujian ini semua.~~


Thursday, December 22, 2016

Pilih, makan, bayar dan balik

Bila anak-anak semua ada di rumah semakin kerap pula aku 'memasak' di restoran. Pilih sajalah hendak makan apa dan restoran mana, biasa papa ikut saja. Bukan selalu dapat peluang yang semua anak ada bersama-sama kalau bukan waktu cuti sekolah. 

Tomyam - Papa dan adik memilih beehoon tomyam, Kak Reen kwee-teow tomyam dan Kak Meen mee tomyam. 

Sama - Semuanya makan tomyam belaka. Air pun sama air tembikai. Mama saja yang memesan air limau.

Side order - Ada juga memesan satey dan somtam. Biasalah kami penggemar somtam. Cuma kali ini agak terlebih pedasnya. Jadi adik tidaklah kami benarkan makan jika pedasnya berlebihan bimbang lain jadinya.

Mama punya - Mama anak orang kampung jati mestilah mahukan nasi. Apa lagi nasi goreng kampung. Sedap pula bila papa tolong padankan dengan kailan dan ulam kobis dan kacang panjang mentah. Sedap!
Ada kalanya masa rehat itu lebih diutamakan untuk seisi rumah. Keluar makan di restoran yang berdekatan dengan tempat tinggal rasa berbaloi juga bila dikira dengan kudrat yang memerlukan rehat lebih. Balik kerja sudah tidak perlu menjengah dapur.  Anak-anak pula yang baru sesekali memasak di dapur pun bingung mahu masak apa. Mereka tidak tahu mama mereka ini yang sudah berpuluh tahun masak buat mereka lagilah buntu.

~~ Makan sajalah di luar. Pesan, makan, bayar - siap boleh balik rumah. ~~


Wednesday, December 21, 2016

Antologi Puisi - Nasihat Nikah Kahwin

Terserlah erti sebuah ukhuwah
kiriman diberi sebagai hadiah
Paridah Ishak mengirimkan naskhah
kandungan dihayati sangat indah
Nasihat Nikah Kahwin - Merupakan antologi puisi yang sarat dengan panduan buat yang mahu berumahtangga. Tidak kurang sebagai renungan buat yg sudah mendirikan rumahtangga. Memberi ilmu buat yg masih tercari-cari semua ada dipaparkan di naskhah ini. 
Hasil nukilan - Selak terus ke muka 144-148 adalah hasil nukilan sahabat kita Puan Paridah Ishak yang amat kreatif dalam menghasilkan karyanya. 
Muka 145 - Syair mengalu-alukan pengantin
Muka 146 - Syair pengantin bersanding
Muka 147 - Syair makan beradab
Muka 148 - Syair terima kasih penghargaan
Bersyair sesekali  indah terasa
bagai berada di dalam istana
penangan Paridah Ishak teman blogger
klik di sini boleh mengenalinya

~~ Jazakallahukhairon buat Puan Paridah Ishak.~~


Merakam gelagat mereka

Pertemuan pertama. Tidak ada rasa malu-malu. Duduk sama-sama. Mula-mula tunjuk yang dia ada kipas tangan yang diperolehi dengan menyelongkar beg tangan Nekzakie. Semua yang dewasa menyangka baik sebab pandai berkongsi. Tapi lain pula jadinya.  Pangkat cucu kepada aku sebab ini anak kepada anak buah kami.

Tunjuk - Cantik kan kipas Nekzakie 

Berebut - "Eh... janganlah ambil saya tunjuk aje"

Lawan - "Tak boleh saya kata tak bolehlah!"

Marah - "Lain kali janganlah tunjuk saya kalau kedekut tak boleh kongsi"
Moment ini waktu malam ketika kami sedang sibuk menyediakan barang hantaran anak buah kami yang menikah hujung minggu tempohari. Kiri berusia 17 bulan, dan kanan berusia 14 bulan. Berbeza tiga bulan pun sudah nampak yang lebih sedikit usianya lebih kuat.

~~ Anak kecil jika dapat apa yang dikehendaki akan ketawa, tapi kalau tidak dapat menangis.~~


Tuesday, December 20, 2016

Austin Heights Water & Adventure Park

Setiap hari pergi-balik kerja pasti aku akan melewati tempat ini tetapi aku tidak pernah terlintas untuk singgah. Dulu sewaktu aku kerja di Austin Hills Golf Resort tempat ini belum ada lagi. Bagaimanapun naluri mama tua ini tidak ada keinginan untuk mandi-manda atau bermain di situ sehinggalah adik bersuara teringin untuk pergi. Bijak juga perancangan adik dengan mengajak dua kawan tumpang mama pergi kerja dan balik bila mama balik kerja. Tetapi aku pula kurang senang untuk pergi mengambil anak-anak itu waktu pagi untuk pergi kerja. Oleh itu pada hari Sabtu lepas aku pergilah menjemput dua orang kawan adik dan hantar mereka bertiga ke sini. Sementara mereka mandi-manda dan bermain aku pergi menjenguk anak buah aku yang koma sambil bersembang dengan Mama Leha di HSI yang berhampiran dengan tempat ini. Pemanduan mungkin dalam sepuluh minit saja sebab jalan di sini sentiasa jem. Rasa aku kalau mengayuh basikal lebih dulu sampai berbanding memandu kereta.

Selfie - Mereka sibuk selfie bertiga tanpa sedar mama sudah menunggu dan mengambil gambar mereka
Penat - Mereka berkongsi locker. Locker yang murah tidak muat untuk meletakkan pakaian dan barang lalu berkongsi locker yang agak besar dengan charge dikenakan RM40/-
Posing - Masing-masing tahu ini mesti mama akan masukkan dalam blog.  Dari kiri: Mellisa, Nadzreena dan adik. Mereka ini semua bagaikana anak-anak aku. Pergi-balik aku jemput-hantar. Agak lewat inform saja mama mereka.
Pengunjung - Sayangnya petang itu hujan lebat. Kepada mereka yang dari jauh ramai juga yang hampa apabila ada announcement mengatakan minta dikosongkan tempat mandi.  Ramai yang menanti hujan teduh tapi nasib baik adik dan kawan-kawan tiba awal sudah puaslah juga menjelajah semua tempat sehingga tempat anak-anak kecil pun mereka teroka.
Gelang - Seperti water park yang lain di sini juga sebaik membayar tiket masuk akan diberi gelang ini.  
Menurut adik kerana waktu ini cuti sekolah tiket masuk hanya RM53/- saja. Jika harga untuk hari-hari biasa rasanya lebih RM80/-. Tetapi lebih murahlah jika dibandingkan di Legoland. Tetapi dari pemerhatian aku di sini lebih ramai warga Singapore yang berkunjung sebab aku lihat di kawasan parking kereta rata-rata plate kenderaan dari sana.

~~ Aku benarkan adik ke sini berbanding bercuti ke pantai. Bimbang ombak kuat dan keadaan kesihatan adik buat masa ini.~~



Monday, December 19, 2016

Adat dipelihara, agama dijunjung tinggi

Seminggu lepas kami meraikan majlis walimah anak buah kami aka sepupu anak-anak. Malam sebelum majlis akad nikah pada keesokan harinya kami bersama-sama menyediakan semua barang hantaran. Tidak ada satu pun yang kami tempah tetapi semuanya atas kreativiti mak-mak saudara dan sepupu yang ada. Jimat beribu sebab setelah bertanya kepada satu kedai setiap satu gubahan ada yang mencecah dua-tiga ratus. Oleh itu pakat-pakat baik kami buat sama-sama.

Daun pandan - Bagi menaikkan aroma pada setiap bekas hantaran kami buat kuntuman bunga dari daun pandan. Aroma original dari daun pandan dapat menaikkan seri meraikan mempelai.

Persiapan - Semua menghulur tangan masing-masing bagi menghasilkan gubahan yang sedap mata memandang. Sayangnya bila siap dan tersusun cantik, satu pun tidak ada di dalam handphone aku. Benar-benar lupa disebabkan sibuk ke sana-sini. Kena tunggu cameraman tempahan memberikan album. Kalau lihat dalam salah satu bakul ada bola mainan itu kerja budak belum 2 tahun. Sibuk juga 'membantu' berkali-kali mahu letakkan mainannya dalam bakul akhirnya kami biarkan saja bagi dia puas hati.

Khusyuk - Mak-mak dan anak-anak dara semua khusyuk membuat gubahan sehingga jam 12:00 malam. Sambil menggubah sambil menikmati hidangan beehoon goreng, mee goreng, soto dan kuih-muih.

Makan - Sebelum tetamu datang kami mak-mak dan anak-anak semua menikmati hidangan dahulu. Masak-masak dan waiter semua kami serahkan kepada pihak catering. Mudah, senang dan kami boleh bergaya sakan dengan tema baju hijau dan tudung kelabu.

Sepupu - Pengantin bersama sepupu yang kesemuanya anak dara yang mahu mendapat seri dari mempelai. Semuanya sepupu dari lima mama/mak/mummy. Tiga darinya anak aku.
~~ Selamat pengantin baru buat Siti Nabiha dan Mohd Shahir dari Mamazakie dan keluarga.~~

Friday, December 16, 2016

Sebuah perjalanan pulang ke rumah

Musim cuti semakin ramai yang menjadikannya sebagai peluang untuk menikmati sebuah perjalanan untuk tujuan makan angin. Tidak kira makan angin di dalam mahupun di luar negeri/negara. Berbagai ragam kerenah manusia juga dapat kita lihat. Kita melihat mereka, mereka pula melihat kita. Adakah perjalanan itu mendapat kebaikan atau sebaliknya kita sendiri kena merenung dalam diri kita. Jika perjalanan yang berakhir dengan kemungkaran sebaiknya jauhilah tetapi andai kebaikan yang diperolehi bersyukur kepadaNya.

Gelap - Gelap. cerah, hujan dan panas semua adalah kehendakNya jua. Biarpun belum jam 4:00 petang tetapi dek kerana limpahan hujan yang lebat kelihatan bagaikan sudah menjelang senja. 
Reda & lega - Tiba di sini hujan kian reda dan kesesakan berkurangan. Lega terasa sehingga mampu untuk mengambil gambar signboard. Kami tidak singgah di sini sebab tidak dalam senarai destinasi. Sekadar menjadi laluan saja.


Sesak - Lihatlah laluan menghala ke utara (sebelah kanan) sesak dan padat. Sepanjang pemanduan yang mengambil jarak berpuluh-puluh km kesesakan ini menjadi pandangan mata kami sekeluarga. Alhamdulillah jalan menghala ke selatan amat selesa. Hanya dipertemukan dengan beberapa kemalangan dan mengakibatkan sedikit jem.
Tunnel/terowong - Melalui sini juga agak lengang. Memudahkan pemanduan. Terfikir dibenak kalaulah laluan di titian sirat ketika di padang mahsyar kelak tiada halangan alangkan indahnya. Merenung juga di dalam diri sendiri sejauh mana bekalan mampu dibawa terasa kecut dan alangkah takutnya. Ya Allah... aku tahu aku tidak layak ke syurgaMu tapi aku juga tidak sanggup menerima seksa api nerakaMu. 

Keluar - Cuaca kembali cerah sehinggalan tiba di JB. Dari jam 4:00 petang di Kedah kami tiba di di rumah jam 12:30 malam. Ada juga kami singgah untuk makan dan solat
Toll - Masuk dari Bandar Baharu Kedah sehingga ke Skudai Toll jumlah bayaran adalah 82.90. Lucunya tanpa disedari kad Touch & Go tinggal 67.97/- Bakinya papa bayar dengan cash. Kalau dari Butterworth tidak tahu berapa tollnya sebab di sana kami tidak lalu highway.
Sebuah perjalanan di dunia ada kalanya tersekat dan hanya mampu tiba di destinasi setelah melalui beberapa ujian dan ditempuh dengan kesabaran. Membeli dan meredah laluan banyak menggunakan duit hanyalah sebagai perantaraan. Adakah kita semua juga sudah bersedia untuk melalui perjalanan di dunia yang fana tanpa menempuh halangan? Semampu boleh kita pasti mahu perjalanan kita di sana dipermudahkan dan menemuiNya dengan hati senang. Bersama kita taati setiap yang diperintahkan dan tinggalkan segala kemungkaran.


~~ Salam Jumaat dan selamat berhujung minggu.~~

Thursday, December 15, 2016

Sesak di sana sini

Menuju destinasi makan angin bersama keluarga adalah suatu moment yang indah. Namun ada suatu yang kurang indah apabila sebaik tiba ke rumah. Memunggah semua barang dari kenderaan bersama-sama tetapi bila melihat pakaian kotor adalah suatu yang sangat kurang indah. Cara terbaik adalah esok paginya memunggah balik masuk ke dalam kereta dan bawa ke kedai dobi.

25 kg - Menggunakan dua mesin 25kg ini untuk mencuci semua pakaian kami.  Nasib baik aku merupakan pelanggan pertama. Dalam beberapa minit selepas aku dan adik siap memasukkan pakaian ke dalam mesin satu-satu pelanggan lain tiba. Sungguh luarbiasa tidak sampai satu jam semakin ramai yang datang sehingga semua mesin penuh digunakan dan ada yang terpaksa menanti giliran. Untung betul empunya dobi apabila musim hujan dan cuti sekolah. Musim orang makan angin.
Penuh - Siap mendobi balik tuang semua di atas katil penuh satu katil. Semua kena kerah sama-sama melipat pula. Tidak boleh bertangguh sebab aku letakkan semuanya di atas katil. Tapi bila tiga orang melipat dan susun masuk almari tidak sampai satu jam sudah selesai. Lega.
Sesak lagi - Sementara semua anak ada dan mama cuti bawalah ke bank untuk tukar kad debit masing-masing.  Masya-Allah ramainya umat manusia. Siapa sangka. Bau aroma peluh dan perfume berasak di dalam aircond. Tempat duduk sudah tidak ada lagi. Lihatlah Kak Meen dan adik sudah tidak tahan. Kak Reen maintain lagi. Dari jam 9:30 pagi sehingga jam 2:00 petang baru selesai. Adik punya tidak lepas sebab masih atas nama papa. Kena pergi dengan papa Jumaat ini. 
Biarpun nilai matawang RM sudah susut jauh berbanding SGD tapi aku dapat perhatikan masih terlalu ramai pekerja warga asing di tempat kita. Aku rasa sewaktu melangkahkan kaki masuk ke dalam bank 3/4 yang mahu berurusan adalah warga asing. Namun semua tidak mampu dibendung lagi. Anak-anak merungut juga sebab kami belum solat zuhor lagi. Bila balik rumah (rumah kami dekat saja dengan bank - tidak sampai 5 minit) tapi selepas solat kaki masing-masing sudah letih lalu tangguhlah niat mahu ke JPO.

~~ Nilai tukaran RM dengan SGD jika mengikut borang Kastam yang aku declare semalam 3.0970. Terasa kecilnya nilai duit kita.~~